Rabu, April 08, 2009

Jangan Terburu-buru Memohon Kad Kredit


Promosi dan tawaran kad kredit sememangnya menarik hati, tapi baca artikel ini dahulu sebelum membuat permohonan

Berapa kalikah anda didekati oleh juru jual di kompleks membeli-belah yang beria-ria menunjukkan borang permohonan kad kredit kepada anda?

Memandangkan terlalu banyak kad kredit yang ditawarkan sekarang, anda mungkin ingin memiliki lebih daripada yang diperlukan? Sama ada anda ingin memohon kad kredit buat pertama kali atau yang kedua atau ketiga (mungkin keempat!), anda perlu ingat beberapa perkara:

Hadiah promosi Untuk mempromosikan kad kredit, anda akan ditawarkan pelbagai hadiah istimewa. Jangan tertipu sekiranya anda berpeluang memenangi kereta baru atau televisyen skrin rata apabila memohon. Tawaran ini biasanya ada terma dan syarat. Baca dan fahami sepenuhnya. Kenal pasti apakah syarat-syarat yang menyebabkan anda tidak boleh memenangi hadiahtersebut.

Kadar istimewa Cari kad kredit yang memberi tawaran terbaik. Kini, terdapat banyak pengeluar kad kredit yang tidak mengenakan bayaran kemasukan atau tahunan pada tempoh tertentu untuk menarik ramai pemohon. Namun, tawaran sebegini ada tarikh tamatnya. Kadar biasa akan dikenakan selepas tarikh tamat, yang selalunya dicatatkan menggunakan huruf kecil atau berada di bahagian belakang borang permohonan.

Bayaran faedah atau dendaPengeluar kad kredit akan mengenakan denda sekiranya anda tidak membayar penuh baki selepas tamat tempoh tanpa faedah. Jika boleh, bayar sepenuhnya untuk mengelakkan bayaran tambahan.

Tempoh tanpa faedahKebanyakan pengeluar kad kredit memberikan tempoh 20 hari tanpa faedah dari tarikh penyata kad kredit. Cuba memohon kad kredit yang menawarkan tempoh tanpa faedah yang paling panjang untuk anda menyelesaikan baki bayaran supaya anda tidak dikenakan denda faedah.

Pengeluaran tunai/pemindahan bakiBayaran yang dikenakan untuk pengeluaran tunai atau pemindahan baki adalah agak tinggi – antara 3% hingga 5%. Cari kad kredit yang mengenakan bayaran terendah. Gunakan kad kredit anda untukmengeluarkan wang sebagai jalan terakhir sahaja.

JANGAN LUPA TERMA & SYARAT
Baca Terma & Syarat dengan teliti apabila memohon kad kredit untuk memahami perkara-perkara berikut:

• Pelbagai bayaran yang dikenakan
• Penggunaan kad kredit tersebut
• Hak dan tanggungjawab pemegang dan pengeluar kad kredit
• Terma pembayaran semula dan liabiliti transaksi yang tidak sah
• Maklumat peribadi

Jangan berhenti di situ sahaja kerana mungkin terdapat perubahan pada polisi, kadar bayaran dan terma & syarat dari masa ke semasa. Ia biasanya dinyatakan pada penyata bulanan kad kredit, maka sila baca sepenuhnya.