Selasa, April 28, 2009

ASMA TIADA UBAT, PERLU DICEGAH

Asma atau lelah ialah serangan sesak atau kesusahan bernafas berserta bunyi termengah-mengah di dada. Ia juga menghasilkan bunyi seperti siulan kerana penyempitan pada saluran cabang tenggorok di paru-paru. Asma terjadi apabila otot pada saluran udara yang menghubungkan hidung kepada paru-paru menjadi kejang. Ketika otot kejang, saluran udara mengecil dan menghalang pernafasan. Keadaan menjadi teruk apabila pesakit mempunyai kahak pekat yang menutup salur pernafasan menyebabkan udara susah keluar masuk.Apabila ini terjadi, paru-paru akan kekurangan udara dan pesakit boleh pengsan serta boleh menyebabkan kematian.

Antara tanda lain asma ialah sukar hendak bernafas, terbatuk-batuk dan pernafasan menjadi pendek. Antara faktor yang boleh memburukkan asma ialah alahan kepada habuk rumah, bulu binatang, debunga rumput dan asap rokok. Terlalu banyak bersenam dan melakukan kerja-kerja juga memungkinkan mendapat asma. Begitu juga jika sering mengalami tekanan perasaan dan mendapat jangkitan pada paru-paru. Bagi mereka yang alah kepada ubat-ubatan seperti aspirin dan penisilin, wajar berhati-hati kerana kemungkinan mendapat serangan asma jika mengambil ubat berkenaan.

Apa patut anda buat jika diserang asma.
Sebaik sahaja serangan bermula, ambil ubat sedutan. Tunggu hingga 15 20 minit dan ulang jika ia tidak berkesan. Ubat yang dimakan akan mengambil masa 30 minit hingga sejam untuk menunjukkan kesan.Jika anda merasakan kesan ubat, ulangi mengambilnya pada masa yang disyorkan. Jika ubat yang diambil tidak berkesan, cepat-cepat berjumpa doktor. Bagaimanapun, ubat-ubatan yang dicadangkan itu boleh meninggalkan kesan sampingan kepada pesakit seperti terlalu mengantuk, loya, muntah, darah gemuruh, kesukaran hendak tidur dan letih.