Rabu, April 08, 2009

ASMA


Asma Di Kalangan Kanak-Kanak
Sejauh mana pengetahuan anda mengenai masalah kesihatan ini?
Oleh Dr Norzila Mohamed Zainudin, Pakar Perunding Kanan Pediatrik & Respiratori

Asma adalah satu daripada penyakit kronik yang paling kerap dialami di dunia, dan boleh mengancam nyawa. Lebih 300 juta orang menghidap asma di seluruh dunia. Di Malaysia, 10 peratus daripada orang dewasa dan 15 peratus daripada kanak-kanak menghidap penyakit ini.
Semakin ramai kanak-kanak menghidap asma sejak kebelakangan ini. Ia adalah penyakit kronik yang paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Asma kanak-kanak dan asma orang dewasa berpunca daripada masalah yang sama – inflamasi atau keradangan saluran pernafasan. Keradangan ini menjadikan saluran terlalu sensitif, yang seterusnya menimbulkan pelbagai tanda dan gejala, daripada batuk biasa hingga serangan serius yang mengganggu pernafasan seperti sesak nafas.

Punca AsmaFaktor risiko asma yang paling kuat ialah gabungan pengaruh genetik dengan alam sekitar. Faktor-faktor persekitaran termasuk:

• Hama rumah, lipas, bulu binatang peliharaan, debunga atau kulapuk.
• Asap tembakau atau pencemar alam sekitar yang lain
• Perubahan cuaca atau udara sejuk.
Bagaimana untuk pastikan jika si manja menghidap asma?Bukan semua kanak-kanak menunjukkan gejala yang sama. Gejala pada kanak-kanak yang sama juga boleh berbeza mengikut keadaan dan serangan. Antaranya termasuk:

• Kerap batuk semasa bermain, pada waktu malam, atau semasa ketawa atau menangis.
• Bernafas dengan cepat (sekejap-sekejap) atau pendek nafas atau sesak nafas.
• Berdehit bila menarik nafas atau menghembus nafas.

Apa anda boleh buat sebagai ibu bapaJika si manja anda baru sahaja disahkan menghidap asma:

• Belajar sebanyak mungkin tentang masalah kesihatan ini dengan membaca dan bertanya soalan.
• Kenal pasti pencetus serangan dan fikirkan cara untuk mengelakkannya.
• Fahami kaedah rawatan untuk si manja anda dan cara menggunakannya.
Perjuangan Global
Dunia bersatu dalam perjuangan menentang salah satu penyakit kronik paling buruk di dunia – Asma. Sejak tahun 1998, Global Initiative for Asthma (GINA) telah menganjurkan Hari Asma Sedunia untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini dan memperbaiki penjagaan di seluruh dunia. Setiap tahun, lebih 92 negara termasuk Malaysia merayakan Hari Asma Sedunia pada hari Selasa pertama dalam bulan Mei setiap tahun. Larian Asma merupakan aktiviti yang dilakukan di Malaysia sempena Hari Asma Sedunia.